Saturday 27 July 2013

ISLAM ITU INDAH DAN MUDAH.

~Bersusah payah melaksanakan Islam yang mudah~



Pernah saya terbaca perbualan berkenaan pandangan mudahnya agama dalam kehidupan manusia. Ada yang menyatakan kita tidak boleh berlebihan dalam amalan tidak kurang juga ada yang mempertikaikan jika agama itu mudah mengapa kita perlu buat ibadat itu dan ini? Adapun hakikat sifat Islam itu pada asasnya memudahkan. Bagaimana?



Penjelasan Hadith

Sifat mudahnya islam ini berkait dengan sebuah hadis[i]:


عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ عَنِ النَّبِىِّ – صلى الله عليه وسلم – قَالَ إِنَّ الدِّينَ يُسْرٌ ، وَلَنْ يُشَادَّ الدِّينَ أَحَدٌ إِلاَّ غَلَبَهُ ، فَسَدِّدُوا وَقَارِبُوا وَأَبْشِرُوا ، وَاسْتَعِينُوا بِالْغَدْوَةِ وَالرَّوْحَةِ وَشَىْءٍ مِنَ الدُّلْجَةِ

Dari Abu Hurairah r.a, bahwa Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesungguhnya agama itu mudah. Tidaklah seseorang mempersulit (berlebih-lebihan) dalam agama melainkan ia akan dikalahkan. Oleh kerana itu kerjakanlah dalam kadar semestinya, atau mendekati dengan kadar semestinya dan bergembiralah (dengan pahala Allah) dan mohonlah pertolongan di waktu pagi, petang dan sebahagaian malam” (HR Bukhari no.39)



إِنَّ الدِّينَ يُسْرٌ

Inilah karakter sebenar islam sebagai satu-satunya agama yang diredhai oleh Allah yang diturunkan dalam keadaan yang sempurna kepada umat akhir zaman.

Ada dua pandangan mengenai mudahnya islam dalam kehidupan manusia:

i.    Mudahnya Islam dalam rangka perbandingan dengan agama lain

Perkara ini mungkin ramai dalam kalangan kita terlepas pandang kerana jika benar-benar meniliti sesuatu agama selain islam seperti yahudi dan kristian kita akan dapati mereka yang berpegang teguh dengan agama mereka sebenarnya lebih sukar berbanding islam.

Contohnya[ii] dalam agama yahudi seorang perempuan yang haid itu tidak boleh digauli oleh suaminya selama dia haid dan tujuh hari selepasnya. Jika dia melanggari perkara tersebut maka akan ditambah bilangan hari seterusnya. Dalam masa yang pasangan tidak dibenarkan berkedudukan sekali. Dalam islam pula perempuan yang haid juga tidak boleh digauli. Namun apabila perempuan itu bersuci maka larangan itu terbatal.

Satu contoh. Selainnya kaum yahudi tidak boleh kahwin dengan selain mereka bahkan ada beberapa kumpulan mazhab dalam yahudi tidak membenarkan kahwin dengan mazhab yang lain. Mungkin ini sekadar suatu contoh umum yang boleh dipertikaikan dengan mengatakan kita perlu lihat pada keseluruhan agama itu sepertimana Islam perlu dilihat dari segenap sudut hukum untuk menzahirkan pada manusia keadilan islam meski islam itu hakikatnya membawa keadilan.

Saya cuba bersikap adil dalam membawa perbahasan ini yang mana meski hanya satu contoh yang saya bawakan berkenaan agama yang tertentu, namun perlu kita ketahui bahawa agama itu datang bersesuaian dengan fitrah manusia. Meski bukan segenap sudut agama selain islam yang saya bawakan, tetapi contoh konkrit ini sudahpun tergambar dalam kotak pemikiran kita bahawa ia melanggar fitrah manusia yang Allah cipta.

Begitu jugalah dengan agama seperti kristian tidak membenarkan paderi berkahwin, agama hindu tidak membenarkan makan daging lembu dan sebagainya. Maka wajah keadilan dan mudahnya islam itu akan terpampar jika adakan perbandingan dengan agama selainnya.

ii.  Mudahnya islam dalam konteks kandungan islam itu sendiri

Pada dasarnya, Islam agama yang mudah kerana ia diturunkan oleh Allah s.w.t yang menciptakan manusia dan alam keseluruhannya. Dek kerana itu, Dia tahu apa yang termampu bagi seseorang manusia itu dalam menghadapi urusan kehidupannya dan tidak akan pernah menzalimi dengan perkara yang membebankan insan.

Allah berfirman:

لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.” (Al-Baqarah:286)

Dalam ayat lain Allah berfirman:

وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ

“Dia sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan”. (Al-Hajj:78)



Salah faham dan kekeliruan

Dalam membahaskan bahawa islam itu mudah dalam erti kata kandungannya sendiri ramai dalam kalangan manusia mungkin terkeliru. Contoh dalam hal ibadah khususnya yang menjadi isu hangat dalam kalangan kita berkenaan dengan menutup aurat terutama bagi wanita.

Mengapa seorang wanita perlu memakai tudung dan menutup seluruh tubuh badan kecuali muka dan tapak tangan?

Atau seorang lelaki tidak boleh berseluar pendek ketika bersukan? Bukankah itu menyusahkan?

Seperti yang saya sebutkan sebelum ini, islam itu meski hakikatnya ia adalah adil dan memudahkan, namun bagi manusia yang lemah ini perlu kita melihat kepada islam itu secara keseluruhan.

Bukankah dengan menutup aurat bagi wanita kecuali apa yang dibenarkan zahir padanya itu boleh mengelakkan berlakunya fitnah hingga terjadi perkara yang bukan-bukan bagi seseorang wanita?

Bukankah lebih selamat bagi seorang lelaki berpakaian sempurna untuk mengelakkan kecederaan terus pada bahagian tubuh badannya?

Mungkin ini satu penilaian akal. Namun pada akarnya, manusia dituntut untuk memahami islam itu dalam rangka pengabdian iaitu dengan menurut segala perintah Allah tanpa ada pertikaian. Adapun jika penemuan sains atau bertepatan dengan pandangan manusia ia adalah sesuatu yang tidak dinafikan kewujudannya.

Dalam ibadah-ibadah lain juga memudahkan seperti puasa, zakat, haji bagi mereka yang termampu dan dikecualikan mereka yang tidak cukup syarat-syarat yang telah digariskan. Menyentuh sedikit bab aqidah islam itu adalah agama fitrah yang mana jika seorang itu tidak berkemampuan menemukan Allah dalam pembelajaran disebabkan faktor tempat tinggal dan lain-lain, tetapi dia masih boleh mencari Allah dalam penciptaannya seperti kisah Ibn Tufail.



Jangan susahkan!

وَلَنْ يُشَادَّ الدِّينَ أَحَدٌ إِلاَّ غَلَبَهُ

Tidaklah seseorang yang mempersulitkan(berlebih-lebihan) dalam agma melainkan ia dikalahkan.

Potongan daripada hadis ini ialah siapa yang menentang atau mendahului islam dengan perkara yang berlebihan maka ia akan dikalahkan kerana islam itu kuat dan tinggi dan tiada lebih tinggi darinya. Dengan erti kata lain, seseorang itu tidak akan mampu menjalankan perintah agama dengan sempurna meski dia merasakan banyak dalam amalan selain mudah future(rebah) di tengah jalan.

Misalnya seperti kisah yang dirawayatkan dalam Bukhari dan Muslim  berkenaan tiga orang yang bertanya kepada Aisyah r.a berkenaan amalan Rasulullah s.a.w. Lalu mereka menyimpulkan untuk berusaha lebih beramal daripada Rasulullah kerana baginda telahpun diampunkan dosa sedangkan mereka penuh noda.

Orang yang pertama bertekad untuk berpuasa setiap hari tanpa berkecuali. Yang keduanya ingin berqiamullail sepanjang malam dan yang ketiga membujang buat selamanya. Nabi s.a.w yang mengetahui perkara ini bertemu mereka dan menyatakan kepada setiap daripada mereka bahawa puasa yang terbaik adalah puasa nabi Daud (puasa sehari buka sehari), begitu juga baginda melakukan qiam namun ada masa istirahat dan baginda juga berkahwin.



Besederhana dan bergembiralah…

فَسَدِّدُوا 

Yakni mengamalkan Islam itu sebagaimana kadarnya, dengan baik dan benar, tanpa berlebihan dan tanpa menguranginya.

وَقَارِبُوا 

atau mendekati semestinya

Jika tidak mampu, berusahalah mendekati atau cuba sekadar kemampuan dengan senantiasa berusaha mendekati kesempurnaan sebagaimana yang telah ditunjukkan Allah dan Rasul-Nya dalam Al-Qur’an dan hadis.

وَأَبْشِرُوا

dan bergembiralah (dengan ganjaran Allah s.w.t)

Bergembiralah, karena dengan mengamalkan Islam sebagaimana adanya itu manusia akan mendapatkan ganjaran dari sisi-Nya. Tambahan pula, amal yang paling dicintai Allah adalah yang terus menerus meskipun ia sedikit. Ketidakmampuan seseorang dalam menjalankan perintah Allah tanpa kesengajaan tidaklah mengurangi pahalanya, dan sederhana dalam sunnah itu lebih baik daripada banyak amalan tetapi bertentangan dengan syariat.

وَاسْتَعِينُوا بِالْغَدْوَةِ وَالرَّوْحَةِ وَشَىْءٍ مِنَ الدُّلْجَةِ



dan mohonlah pertolongan di waktu pagi, petang dan sebagian malam

Al-Ghadwah (الْغَدْوَةِ) artinya permulaan siang(pagi). Ar-Rauhah (الرَّوْحَة) artinya setelah terbenamnya matahari. Ad-Duljah (الدُّلْجَةِ) artinya akhir malam.

Ketiga-tiga kosa kata ini membawa maksud mintalah pertolongan kepada Allah SWT dengan beribadah secara khusus dengan ibadah solat dan sunat yang lain yang ada dalam syariat pada waktu-waktu yang telah berkenaan. Namun hakikat hidup manusia itu keseluruhannya adalah ibadah. Justeru, jika kita memandang lebih jauh manusia hanya ada siang dan malam, maka pada setiap waktu sebenarnya patut kita meminta. Mintalah pertolongan kepada Allah dalam segala hal, baik urusan dunia lebih lagi urusan akhirat, khususnya dalam bab ini agar diisitiqamahkan dalam menjalankan Islam yang mudah, yang bertepatan dengan sunnah tanpa berlebih-lebihan sekaligus tanpa pengurangan.

Ibnu Hajar Al-Asqalani menjelaskan bahwa hadis ini mempunya kaitani yang tersendiri dengan hadis-hadis sebelumnyayang mana hadis-hadissebelumnya menunjukkan bahwa solat, puasa dan jihad merupakan bahagian dari iman dan memiliki keutamaan besar, hadis ini mengingatkan agar dalam menjalankan ketiganya kita tetap berada dalam naungan sunnah baginda, sesuai dengan karakter Islam yang mudah. Tidak mempersulit diri dan berlebih-lebihan.



Kesimpulan

Akhir sekali. Islam itu mudah bukan dengan tinggal perkara yang telah disuruh kepada manusia tunaikan kerana kebanyakan perkara di atas dunia ini perlukan bayaran. Maka, bayaran untuk syurga itu terlebihlah mahalnya untuk kita menganggap mudah akan agama (dalam erti kata berehat-rehat) bagi mencapai nikmat di akhir sana.

Adapun sifat mudah islam itu bukan suatu perkara yang asing tetapi perlu difahami secara jelas dan dilihat dalam skop islam secara keseluruhan yang mana terkesan dalam kehidupan insan.

[i]  Fathul Bari Syarah Sahih Al-Bukhari, Al-Hafiz Ibn Hajar

[ii]  Muqaranatul Adyan  Dr Muhammad Ahmad Khatib

Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...