Saturday, 27 July 2013

YA AYYUHA NAS : LIHATLAH BAGAIMANA RAKYAT SYRIA DISEMBELIH.


Ya ayyuha Nas..Luangkan msa anda hanya 10 minit utk video di bwh..semoga kita benar2 insaf slps tgk apa yg berlaku di Syria (Syam) pd hari ini..Allahuakhbar, mesti mngalir air mata.

Thursday, 25 July 2013

SEMBAHYANG. TANYALAH DIRI SENDIRI.?


Pernahkah kita bersedih tertinggal sembahyang? Pernahkah susah hati terlewat mengerjakannya? Pernahkah terasa rugi tertinggal jemaah mendirikan sembahyang? Pernahkah kita risau hati lalai di dalam sembahyang? Pernahkah terasa berdosa tidak beradab menghadapi Tuhan? Jawapannya ada pada diri kita sendiri. Setiap orang boleh menilai dirinya. Tanyalah diri kita akan dapat jawapannya. Bila dapat jawapannya engkau kenal diri engkau. Bila engkau kenal diri engkau, engkau kenal siapa engkau. Kalau engkau kenal diri engkau engkau tidak akan nampak lagi kejahatan orang lain. Begitulah beberapa pertanyaan yang kita ajukan. Sebagai contoh untuk bertanya diri sendiri yang tidak disebutkan kita datangkan atau fikirkan tentu kita juga akan dapat jawapannya. Cara ini adalah salah satu cara buat kita menilai diri jika kita mahu menilai diri sendiri. Lebih-lebih lagi jika hendak membaiki diri tapi berapa ramaikah orang boleh ikut jalan ini?!

KENAPA SELAMA INI SOLAT TIDAK MENDIDIK KITA?

Bersungguh-sungguhlah beramal ibadah. Laksanakan secara istiqamah setiap masa. Kemudian koreksilah ibadah di mana kekurangannya. Kemudian lupakan sahaja. Bersungguh-sungguhlah meninggalkan dosa. Muhasabahlah diri setiap masa tentang dosa. Kemudian rasakan diri kita berdosa. Begitulah sifat seorang hamba. Pandang kecillah dengan ibadah kita. Kerana masuk ke Syurga itu dengan rahmat-Nya. Pandang besarlah dengan dosa kita. Agar kita takut membuatnya. Dan masuk ke Neraka dengan keadilan-Nya. Panjatkanlah doa selalu kepada-Nya. Pintalah taufiq dan hidayah dari-Nya. Kerana itulah jalan kepada-Nya. Kita hamba, haraplah selalu kepada-Nya. Dan baik sangka kepada-Nya.

Di dalam sejarah tamadun manusia, ada bangsa-bangsa yang telah menempa sejarah yang agung. Bangsa-bangsa itu dianggap agung kerana kedudukan dan martabat mereka yang jauh lebih tinggi dari bangsa-bangsa lain yang sezaman dengan mereka.

Mereka itu agung kerana mereka:
1. Bangsa yang berjiwa besar
2. Berwibawa
3. Bertamadun
4. Disegani
5. Dihormati
6. Maju
7. Mengatur
8. Banyak memberi khidmat kepada bangsa lain

Bangsa-bangsa yang lemah dan mundur mempunyai ciri-ciri dan sifat-sifat negatif yang menyebabkan mereka itu tidak boleh maju dan ketinggalan dari bangsa-bangsa lain. Di antara ciri-ciri dan sifat-sifat tersebut adalah seperti berikut:
1. Pemalas
2. Berjiwa kecil
3. Penakut
4. Suka meminta-minta (bantuan dan subsidi)
5. Lemah jiwa. Mudah putus asa dan kecewa
6. Tidak ada keyakinan diri
7. Tidak ada cita-cita untuk bangsanya. Mereka hanya ada cita-cita peribadi, untuk hidup senang dan untuk makan sendiri sama ada pemimpin dan orang besarnya ataupun rakyatnya.

Bangsa-bangsa yang kuat dan agung pula mempunyai ciri-ciri dan sifat-sifat yang jauh berbeza. Mereka sebaliknya mempunyai berbagai-bagai sifat positif yang dapat memberi kekuatan kepada mereka. Sifat-sifat itu termasuklah:
1. Rajin
2. Berjiwa besar
3. Berani
4. Tidak suka meminta-minta dan sangat berdikari
5. Kuat jiwa. Tidak mudah putus asa atau kecewa
6. Yakin diri
7. Ada cita-cita untuk bangsanya, sama ada cita-cita itu pada pemimpin, pada orang besarnya atau pada rakyatnya.

Di samping sifat-sifat di atas, ada lagi sifat-sifat positif yang sangat meneguhkan dan menguatkan peribadi mereka. Ini termasuklah sifat-sifat:
1. Berdisiplin
2. Sabar

Agungnya peribadi itu pula dapat dilihat pada:
1. Akhlaknya
2. Imannya
3. Keyakinannya
4. Disiplin hidupnya
5. Kebersihan hatinya
6. Jauhnya mereka daripada melakukan maksiat dan dosa
7. Kemas syariatnya

Bukan mudah untuk mengubah bangsa yang lemah dan mundur supaya menjadi bangsa yang kuat dan agung. Segala ciri dan sifat-sifat mereka itu perlu diubah. Sifat pemalas mesti diubah menjadi rajin. Jiwa yang kecil mesti diubah menjadi jiwa yang besar. Sifat suka meminta-minta dan sentiasa mengharapkan bantuan dan subsidi, mesti dikikis dan dibuang. Mesti ditanam dengan sifat berdikari. Jiwa yang lemah mesti dikuatkan. Tidak boleh mudah kecewa dan berputus asa. Sifat penakut mesti ditukar kepada sifat berani. Mereka mesti kuat keyakinan. Cita-cita bangsa perlu ditanam di dalam hati sanubari setiap anak bangsa. Sifat suka mementingkan diri dan bekerja hanya untuk kesenangan diri sendiri mesti dihapuskan.

Ini sesuai dengan firman Allah SWT: Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum itu mengubah apa yang ada dalam diri (hati atau jiwa) mereka.” (Ar Ra’d: 11)

BAGAIMANA SOLAT BOLEH MEMBINA KEKUATAN

Solat atau sembahyang itu, Tuhan yang menetapkan rukun-rukunnya. Ia bukan ciptaan manusia, bukan direka-reka atau dibentuk oleh manusia. Kalau difahami dan dihayati, sembahyang itu adalah sesuatu yang sangat hebat. Kita akan dapat merasakan bahawa Tuhan itu hebat. Kita akan dapat bersandar kepada kehebatan-Nya. Satu Zat yang tidak dapat dibayangkan kebesaran-Nya tetapi terasa kebesaran-Nya. Satu Zat yang tidak dapat dibayangkan bagaimana wujud-Nya tetapi terasa wujud-Nya. Satu Zat yang tidak dapat dibayangkan kuasa-Nya tetapi terasa kekuasaan-Nya. Terasa oleh kita akan kesempurnaan Tuhan. Kita boleh minta apa sahaja dari Tuhan. Tuhan sedia melayannya.

Solat itu adalah satu modul yang lengkap untuk mendidik hati dan jiwa manusia. Dalam solat ada ubat, ada pil, ada tonik dan ada vitamin untuk menyembuhkan penyakit rohani dan membina peribadi yang kuat, gagah dan agung. Boleh timbul berbagai kekuatan bagi individu atau sesuatu bangsa hasil dari solat dengan syarat ada ilmunya, faham dan solat itu benar-benar dijiwai serta dihayati.

PENDIDIKAN ITU MELALUI IBADAH

Untuk mendapatkan sifat-sifat yang agung ini bukanlah sesuatu yang senang. Perlu ada pemimpin yang mendidik ke arah itu. Kalau tidak ada pemimpin yang mendidik, ia mustahil boleh berlaku.

Pemimpin itu pula tidak boleh sebarang atau calang-calang pemimpin.Pemimpin yang hendak menjadikan bangsanya kuat dan agung mestilah mempunyai segala ciri-ciri dan sifat-sifat yang agung itu pada dirinya terlebih dahulu. Kalau tidak, bagaimana dia hendak mendidik bangsanya supaya mempunyai ketujuh-tujuh ciri dan sifat yang agung tadi. Dia mesti mempunyai mandat dari Tuhan. Dia juga mesti mampu mendidik hati-hati manusia sepertimana para nabi dan rasul mendidik. Dia mesti faham perjalanan hati dan roh manusia. Dia mestilah orang yang sangat bertaqwa dan mempunyai wibawa yang tinggi. Manusia mudah memberi hati, mencintai dan taat kepadanya.

Pendidikan bangsa mestilah melalui ibadah. Itulah sebabnya Tuhan memerintahkan kita supaya beribadah kepada-Nya sama ada ibadah pokok mahupun ibadah sampingan atau sunat. Kalau ibadah yang Tuhan perintahkan itu kita laksanakan dengan bersungguh-sungguh maka dari situ akan lahirlah kekuatan sesuatu bangsa. Ibadah pokok atau ibadah asas ialah solat atau sembahyang lima waktu. Ibadah-ibadah lain adalah sampingan atau sunat. Ibadah pokok atau ibadah asas mesti ada. Ia menjadi syarat. Kalau ibadah pokok atau asas ini tidak cukup untuk memberi kekuatan, ia boleh ditampung dan dicukupkan oleh ibadah-ibadah sampingan yang lain.

Kekuatan yang timbul atau yang boleh diperolehi dari setiap ibadah itu pula tertakluk dan berkait rapat dengan tiga perkara iaitu:
1. Ilmu
2. Kefahaman
3. Penghayatan

Setiap ibadah yang dibuat mesti mempunyai ketiga-tiga perkara ini. Ilmunya sudah tentu penting kerana tanpa ilmu kita tidak tahu cara yang sebenar untuk beribadah dan ibadah kita pasti akan tertolak. Tuhan tidak terima ibadah yang dibuat tanpa ilmu. Kefahaman lebih penting. Faham itulah hikmahnya. Faham itu ialah ilmu dalam ilmu. Sebab itulah ada Hadis yang mengatakan: “Barangsiapa yang hendak dijadikan baik, maka dia diberi faham tentang agama.” (Riwayat Muawiyah)

Dalam doa pun selalu kita minta kepada Tuhan begini:
Maksudnya: “Ya Tuhanku, berikanlah aku ilmu dan rezekikanlah aku kefahaman.”
Kemuncak daripada ilmu dan faham itulah penghayatan. Penghayatan itu ialah apabila ilmu dan kefahaman itu betul-betul menjadi roh kita, otak kita, hati kita dan sikap kita. Apabila sesuatu ibadah itu ada ilmunya, difaham dan dihayati maka akan jadilah ibadah itu satu sumber kekuatan.

KENAPA SELAMA INI IBADAH TIDAK MENDIDIK KITA

1. Ibadah tanpa penghayatan tidak memberi kesan

Kita diberi ilmu tentang ibadah, sama ada ibadah asas mahupun ibadah sunat, hanya setakat yang bersangkut paut dengan hukum-hakam iaitu tentang syaratnya, rukunnya, sah dan batalnya sahaja. Oleh itu dalam beribadah, itulah yang kita jaga iaitu syaratnya, rukunnya, sah dan batalnya sahaja. Tidak lebih dari itu. Dalam solat, itulah juga empat perkara yang ditekankan. Begitu juga dalam ibadah puasa dan haji. Ilmu lain termasuk falsafahnya tidak diajar. Kefahaman dan penghayatan pun tidak diajarkan. Kalau begitu keadaannya bagaimanalah ibadah itu dapat dihayati.

Kalau ibadah penting seperti solat yang menjadi tiang agama dan ibu segala ibadah pun hanya diajar syarat, rukun, sah dan batalnya sahaja tetapi ilmu falsafah, kefahaman dan penghayatannya tidak diajar, maka rugi sungguhlah kita.

Fenomena ini sudah berlaku selama tujuh ratus tahun semenjak jatuhnya empayar Islam. Ilmu ibadah yang kita belajar selama ini sangat terbatas. Ilmu ibadah yang diajar tidak langsung menyentuh tentang roh ibadah atau hikmah dalam ibadah. Sebab itu kita lihat, orang yang banyak ibadah dan banyak bersolat pun, ianya tidak memberi apa-apa kesan pada diri dan hati mereka. Akhlak mereka tidak banyak berubah. Bahkan orang yang banyak ibadah menjadi lebih beku, tidak aktif, tidak produktif dan sangat pasif.

Sabda Rasulullah SAW: Maksudnya: “Barangsiapa yang sembahyangnya tidak dapat mencegahnya daripada maksiat dan kemungkaran maka tidak bertambah dekat dia dengan Allah, melainkan bertambah jauh daripada Allah.” (Riwayat At Tabrani)

Ibadah tanpa penghayatan dan penjiwaan ini tidak memberi apa-apa kekuatan. Ibadah seperti ini tidak dapat melahirkan bangsa yang kuat dan yang mempunyai peribadi yang agung. Dalam perintah Tuhan supaya kita beribadah itu terkandung ubat untuk bagaimana kita boleh melahirkan bangsa yang gagah dan agung, yang dapat menguasai dunia. Tetapi disebabkan ibadah kita itu hanya ibadah lahir, tidak ada jiwa, tidak ada roh dan tidak dihayati, kita bersolat atau tidak bersolat, kita ibadah atau tidak ibadah, sama sahaja kesannya kepada kita.

2. Tidak ada ilmu tentang Tuhan

Solat atau sembahyang itu, di antara tujuannya ialah untuk mengingatkan dan menyedarkan manusia tentang Tuhan. Bukan untuk mengajar manusia tentang Tuhan tetapi untuk mengingatkan dan menyedarkan manusia tentang Tuhan. Manusia sepatutnya sudah ada ilmu dan faham tentang Tuhan di luar sembahyang. Cuma, manusia atau insan itu sifatnya adalah pelupa. Walaupun manusia ada ilmu dan faham tentang Tuhan di luar sembahyang tetapi mereka tetap akan lupa. Itulah sifat manusia. Istilah insan adalah dari istilah ins dalam bahasa Arab yang maksudnya pelupa.

Solat atau sembahyang akan hanya memberi kesan pada orang yang sudah ada ilmu dan faham tentang Tuhan. Maka dalam sembahyang, dia hanya diingat-ingatkan dan disedarkan lagi. Lima kali sehari semalam, Allah ingat-ingatkan dia tentang Tuhan untuk menampung sifat pelupanya itu supaya dia jangan terus lupa. Itulah rahmat dan kasih sayang Tuhan.

Sembahyang hanya boleh menyedarkan orang yang sudah ada ilmu dan faham tentang Tuhan. Tetapi bagi kebanyakan umat Islam, di luar sembahyang dan dalam kehidupan seharian, mereka memang tidak ada ilmu dan tidak faham tentang Tuhan. Kalau di luar sembahyang sudah jahil, tidak ada ilmu dan tidak faham, bagaimana untuk mengingat Tuhan dalam sembahyang. Bagaimana dapat mengingat perkara yang kita tidak pernah tahu dan tidak pernah faham. Ini perkara mustahil. Orang yang tidak ada ilmu dan tidak faham tentang Tuhan sangat susah untuk disedarkan. Orang macam ini, sembahyang tidak ada makna baginya. Terpekik terlolong dalam sembahyang pun tidak jadi apa-apa. Dia tidak ubah seperti orang gila.

Inilah juga sebab kenapa ibadah terutama solat atau sembahyang itu tidak mendidik kita. Umat Islam rata-rata memang tidak ada ilmu dan tidak faham tentang Tuhan dan sifat-sifat Tuhan. Sembahyang tidak membawa mereka kepada Tuhan. Jauh sekali mengingatkan mereka tentang Tuhan.

Wednesday, 24 July 2013

CARA MEMBAIKI DIRI DI BULAN RAMADHAN


Hidupkanlah hati di bulan Ramadhan dengan membesarkannya, tawadhuk dan khusyuk kepadanya, rasa malu dan takut, cinta dan rindu menghina diri dan rasa lemah, barulah berarti kedatangan Ramadhan – Abuya Ashaari Muhammad

Bulan Ramadhan adalah satu bulan yang di dalamnya diturunkan Al Quran. Bulan yang diturunkan rahmat dan berkat. Bulan diampunkan dosa. Bulan yang kebaikannya diganda-gandakan Tuhan. Bulan yang didalamnya berlaku Lailatul Qadar. Yang mana siapa yang dapat beribadah tepat pada malam Lailatul Qadar seolah-olah dipanjangkan umur. Seolah-olah mereka pernah beribadah selama lebih 1000 bulan, yakni lebih dari 83 tahun. Inilah antara Rahmat Tuhan kepada orang yang bertaqwa atau yang bercita-cita menjadi orang bertaqwa. Ini satu anugerah Tuhan.

Ini menunjukkan bulan Ramadhan adalah raja segala bulan. Pada bulan ini, Tuhan menyuruh kita berpuasa di siang hari dan beribadah di waktu malamnya. Oleh kerana Tuhan hendak memberi pahala yang besar, terutama yang mendapatkan Lailatul Qadar, ini mesti ada rahsia dari Tuhan, mengapa Tuhan pilih bulan Ramadhan, mengapa begitu besar pahalanya di sisi Tuhan. Ini tak berlaku di bulan-bulan lain. Lebih-lebih lagi dosa-dosa kita semua diampunkan.

Kejadian Manusia

Kalau kita hendak bercerita mengenai hal ini, ia ada hubungan dengan kejadian manusia itu sendiri. Mungkin kebanyakan orang tidak mengetahui yang manusia itu kejadiannya terdiri daripada 4 unsur. Iaitu:-

1. jasad lahiriah

2. akal

3. roh

4. nafsu.

* Peranan jasad hanya bertindak, berbuat, melaksana.

* Peranan akal menerima ilmu, menerima maklumat. Samada maklumat itu betul atau tidak, memberi manfaat atau tidak, dia hanya mengumpulkan saja maklumat itu.

* Peranan nafsu merangsang dan berkehendak. Saya ulang lagi, peranan nafsu merangsang dan berkehendak. Kehendak samada yang baik atau yang buruk, halal atau haram, positif ataupun negatif..

* Peranan hati hanya semata-mata merasa. Rasa-rasa itulah yang datang dari akal, dari fizikal, dan yang datang dari tindakan nafsu. Hati atau Roh ini umpama raja di dalam diri manusia.

Jadi kalau nafsu, akal dan fizikal baik, dia akan membangunkan jiwa2 yang baik.


Ramadhan hendak memeriahkan jiwa dengan rasa kehambaan, rasa hina, rasa lemah dan rasa kerdil di hadapan Tuhan yang Maha Kuasa
Kalau nafsu, akal dan jasad jahat maka roh atau hati yang merupakan raja dalam diri dia akan jahat, Kalau roh baik, maka baiklah hati.

Ini kita dapat lihat atau boleh kita misalkan raja sebuah Negara. Kita lihat kadang-kadang raja itu jadi jahat oleh orang dikiri dan kanannya, iaitu pemimpin-pemimpin yang rosak. Tetapi kadang-kadang raja itu menjadi baik, juga akibat orang-orang di kiri kanannya, macam penasihat yang baik, maka jadi baiklah raja itu.

Jadi kejadian manusia ini Tuhan yang menjadikannya.Tuhan Maha Mengetahui bagaimana manusia itu boleh menjadi baik dan bagaimana menjadi jahat, sebab itu Tuhan dengan kuasanya, kalau manusia itu jahat bagaimana Tuhan mengubatnya, kalau dia sudah baik bagaimana hendak dijaga supaya dia tidak menjadi jahat semula.

Manusia yang ada 4 unsur tadi di waktu alam roh, sebelum dilahirkan tubuh kasarnya, dia sudah kenal Tuhan, taat dan takutkan Tuhan dan dia sangat baik. Tetapi apabila roh sudah masuk dalam sarangnya [jasad], lalu dilahirkan bersama sarangnya, maka tiga unsur yang lain tadi yang boleh mempengaruhi hatinya, sekiranya baik, maka roh manusia yang jadi raja diri itupun menjadi baik.

Pada manusia itu sebenarnya ada unsur malaikat, syaitan, haiwan dan manusia. Kalau begitu, berdasarkan unsur-unsur tersebut,maka manusia boleh menjadi malaikat yang berupa manusia, atau binatang atau syaitan yang berupa manusia.. Bila manusia kekal sebagai manusia maka dia normal.

Tidak boleh dikatakan manusia malaikat atau manusia haiwan, tidak boleh juga dikatakan manusia syaitan. Manusia normal ini biasa sahaja.

Tuhan lahirkan manusia itu untuk dijadikan manusia malaikat, yang luarannya berupa manusia, rohnya pula bersifat malaikat, baru boleh menjadi orang bertaqwa.

Kuliah ini terasa susah sikit jadi kena berhati-hati yang mendengar lagi susah. Kena ambil perhatian kalau tidak dia mudah mengantuk dan bosan. Tajuk ini penting.

Hakikatnya, Tuhan teramat tahu kelemahan manusia yang mana dalam satu tahun ada 12 bulan manusia hidup, bergerak, dengan aktiviti, berjuang, berjihad, bekerja, berfikir. Selalunya majorit akal dan nafsulah yang mempengaruhi hatinya.Menjadikan roh manusia itu rosak. Jika sudah sedia rosak bertambah rosak. Kalau dia sudah baik, roh yang asal kejadian bersifat malaikat, turun pada martabat manusia, iaitu normal. Jarang yang sudah rosak bertambah baik. Yang baik ertinya sewaktu bersih itu digilap sampai bercahaya. Yang sudah bersedia bercahaya, bertambah lagi pancaran cahayanya. Perkara ini jarang berlaku, ia berlaku pada golongan sedikit.

Sebab itu Tuhan ingatkan dalam Quran, “Hanya sedikit hamba-hambaKu yang bersyukur”.Maka disinilah dengan Rahmat dan kasih sayang Tuhan, Tuhan tentukan pada orang Islam, 12 bulan itu diadakan satu bulan untuk baiki diri dalam setahun. Diri yang sudah rosak sepanjang 11 bulan, dirosakkan oleh nafsu terutamanya. Yang kedua dirosakkan oleh cara berfikir kerana menerima maklumat2 yang salah dan dirosakkan oleh fizikal, arahan nafsu dan akal.

Maka dengan kasih sayang Tuhan dijadikan sebulan dalam setahun itu supaya manusia itu tidaklah rosak selama-lamanya. Sebulan itu kita diajar bagaimana hendak membaiki diri. Dengan keadilan dan kasih sayang Tuhan daripada 12 bulan itu, sebulan dipilih untuk dipost mortem atau overhaul. Ibarat kereta yang sudah 11 bulan digunakan, lebih-lebih lagi tidak berhati-hati, dilanyak sesuka hati, maka sebulan tu waktu overhaul. Masuk workshop lalu enjin, wire, body, dibetulkan semula. Setelah di overhaul, kereta pulih, enjin baik, body baik, dipandu pun selesa.

Mentadbir dunia

Begitulah manusia, Tuhan tahu, kebanyakan manusia, dalam masa 11 bulan itu hati mereka mudah rosak Dirosakkan oleh nafsu, akal dan fizikal. Bagaimana nafsu merosakkan ?  Tuhan hantar kita ke dunia, disuruhNya kita mengambil dunia, mentadbir dunia, untuk diagih2kan pada orang lain, untuk berkhidmat pada orang lain. Maka tercetuslah kasih sayang, pembelaan, perkhidmatan. Orang yang malang dapat dibela, orang yang miskin dapat dipertanggung jawabkan. Akhirnya lahir kasih sayang antara satu sama lain.

Bukannya kita didatangkan ke dunia mengambil dunia dan untuk cintakan dunia! Saya ulang lagi, Tuhan datangkan manusia ke dunia, untuk mengambil dunia, menggunakan dunia untuk berkhidmat, dan menolong orang. Supaya dengan itu lahir kasih sayang.  Supaya tidak berlaku jurang antara orang kaya dan miskin, antara yang di atas dan yang di bawah, antara pemimpin dengan rakyat. Tuhan mahu kita ambil dunia untuk berkhidmat, untuk mendapat pahala. Untuk dapat melahirkan kasih sayang, bukan untuk dicintai. Yang wajib dicintai hanya satu yaitu Allah. Jadi konsep berhadapan dengan dunia kenalah dibetulkan. Sebab selama ini kita sudah salah faham. Ada orang ambil dunia bukannya dengan dunia itu dapat melahirkan kasih sayang dengan orang lain, sebab dia sudah jatuh hati dengan dunia.

Bila jatuh hati apa yang terjadi ? Ini kerja nafsulah. Bila sudah jatuh hati, datanglah rangsangan, datanglah berkehendak. Itulah kerja nafsu. Yang dimaksudkan dunia itu bermacam-macam. Yang besarnya harta, jawatan, kekuasaan, pangkat, darjat, pengikut yang banyak, nama, glamour. Ini dunia.

Jadi bila kita biarkan nafsu berperanan tanpa dididik, tanpa diikat dengan sifat takutkan Tuhan, cintakan Tuhan, akhirnya Tuhan tidak dicintai atau ditakuti, lalu manusia itu akan cinta sungguh dengan dunianya.

Bila dunia dicintai apa yang akan terjadi dengan kehidupan terutama dengan perasaan ?. Bila tidak dapat hati menjadi susah, bila mahu mendapatkannya, berusaha bertungkus-lumus pagi petang.

Kadang-kadang sampai terlupa uruskan diri sendiri, betapalah hal-hal lain, hal syariat, kerana yang dicinta belum dapat, yang dikasihi belum dapat. Bertungkus-lumus untuk mendapatkannya sampai tidak kira halal dan haram. Bila sudah didapati, berubah pula jadi negatif. Datang perasan sayang, tamak, bakhil yang membuatkan tidak terfikir lagi bagai mana mahu berkorban dan berjuang di jalan Allah untuk menegakkan kalimatullah.

Kemudian bila tidak dapat juga datang pula penyakit lain. Hasad dengki dengan orang lain yang mendapatnya. Mungkin boleh sampai bertindak ke atas orang itu, seperti dia memfitnah, dijatuhkan maruahnya atau sehingga sanggup pula membunuh.


Rasulullah bersabda – Cintakan Tuhan itu ibu segala kebaikan
Side effect yang lain, sifat-sifat itu bila diketahui oleh orang lain dalam pergaulan, orang lain pun benci, marah, tidak suka, berhasad dengki. Akhirnya unsur-unsur perbalahan akan wujud. Unsur-unsur pergaduhan pun terwujud. Kalau tidak dibendung lama-lama membawa kepada peperangan. Ini semua berpunca daripada cinta dunia.

Sebab itu Rasulullah SAW bersabda .” Hubbuddunya ra’su kulli khatiah…”

Rasulullah SAW bersabda, cinta dunia ibu segala kesalahan.

Rasulullah tidak sebut ibu segala kejahatan. Khatiah itu dalam bahasa Arab, jika diterjemah pada lafaz maknanya kesalahan, bukan kejahatan. Ini ada maksud disebaliknya. Ada orang menterjemahkan – ibu segala kejahatan- sebenarnya tidak begitu. Khatiah itu maknanya kesalahan. Ertinya buat salah dulu, tersalah dulu, tersilap dulu baru datang kejahatan. Dalam berbagai-bagai bentuk.

Pembersihan Roh

Rasulullah SAW juga berkata, cintakan Tuhan itu ibu segala kebaikan. Tetapi kalau dunia dicintai maka berlakulah sebaliknya iaitu ibu segala kesalahan. Bila sudah salah, salah meletakkan cinta dunia tadi, maka akan berbuah segala kejahatan yang berbagai-bagai. Jadi kalau nafsu itu jahat, sudah cintakan dunia maka dia akan memberikan kesan kepada roh. Saya sudah kata roh itu tugasnya hanya berperasaan. Kalau akal, nafsu dan fizikal sudah jahat, yang jahat itulah yang menjadi penasihat pada roh. Apa akan berlaku pada perasaan ? Bukannya akan lahir perasaan yang positif. Berkasih sayang, takut, bertimbang rasa, berperikemanusiaan, mengutamakan orang lain, tidak berlaku begitu. Akan datang sakit hati, sombong, megah, rasa berdendam, rasa tidak mahu maafkan orang, tidak mahu meminta maaf.

“Kalau minta maaf jatuh wibawa aku, kalau aku bagi maaf pun jatuh wibawa.”

Timbul perasaan-perasaan negatif bukan positif. Sebab itu yang akan dapat nikmat nanti dan yang akan kena azab ialah roh, roh yang kekal. Bukannya nafsu, fizikal dan akal. Jadi Tuhan tahu hal ini, kesan daripada tidak terdidiknya akal, nafsu dan fizikal ini akan mempengaruhi roh. Roh yang kena azab. Maka sebab itu dengan kasih sayang Tuhan, Tuhan bagi orang Islam bulan Ramadhan dengan tujuan membaiki 4 unsur (4 anasir). iaitu dapat betulkan semula rohnya, nafsunya, akal dan fizikalnya.

Setengah orang itu bila boleh membaiki diri di dalam bulan Ramadhan dia akan mendapat kekuatan sampai ke Ramadhan yang akan datang. Bila datang Ramadhan akan datang, roh yang sudah bersih itu tinggal digilap sahaja supaya bercahaya. Roh yang tidak hitam tetapi ada habuk-habuk, ringanlah sedikit, bila datang Ramadhan akan datang maka kalau dia beribadah, habuk itu terbuang,tidaklah begitu teruk membersihkannya. Roh yang bersih, itu orang soleh. Kalau roh bercahaya itu orang bertaqwa, muqarrabin. Orang soleh dalam golongan Ashabul Yamin, .Mereka akan banyak dihisab tetapi tidak dimasukkan ke dalam neraka, cuma akan susah dihisab. Tetapi kalau roh itu bercahaya, datangnya Ramadhan lagi tambah kilauan cahayanya, darjatnya semakin naik. Bagi yang belum sampai ke peringkat wali, bila datang Ramadhan lalu Rohnya semakin bersih bercahaya lagi, jadilah wali, InsyaAllah – orang begini termasuk golongan Muqarabin yang sedikit itu. Di akhirat dia akan termasuk golongan bighairi hisab, tidak payah dihisab. Yang tadi – Ashabul Yamin, kena hisab. Orang kena hisab ni macam kita pergi ke luar Negara, imigresen dan kastam periksa. Jika tiada masalah terlepaslah tapi mungkin mengambil tempoh 3 jam. Di dunia 3 jam pun sudah susah. Di sana kalau ditahan, bukan 3 jam mungkin 50 tahun, mungkin 100 tahun. Cuma tidak kena azab sahaja.

Jadi Tuhan tahu dimana kekuatan dan kelemahan manusia, maka Tuhan suruh kita baiki di bulan Ramadhan. Sebab itu kalau orang boleh pulihkan semula rohnya yang hitam jadi kelabu, yang kelabu dibersihkan habuknya, yang bersih dicahayakan, kemudian bersih dan bertambah darjat kilauan cahayanya, Tuhan bagi pahala berganda-ganda, diampunkan dosanya.

Bila mendapat Lailatul Qadar, Tuhan bagi seolah-olah dia beribadah lebih 83 tahun. Kalau dia dapat 3 kali Ramadan Lailatul Qadar, dan dia berjaya memutihkan dan mencahayakan rohnya ertinya dia hidup beberapa ratus tahun !

Lailatul Qadr

Lailatul Qadar ini, umat-umat sebelum Nabi Muhammad SAW tidak mendapatnya. Tetapi dengan keadilan Tuhan, masing2 dapat menjadi baik, sama2 mendapat kemudahan.Orang zaman dahulu panjang umur, kita pendek umur, tapi boleh mendapat pahala yang sama. Sebab itu umat dahulu ada yang berumur 200 thn, 400 thn. Jika 100 thn dahulu masih dianggap pemuda. Mana yang bernasib baik, sampai 500 tahun, Pada zaman kita sekarang, 20 thn itu muda remaja. Tetapi umat dahulu,mereka tidak mendapat Lailatul Qadar, tidak dapat Ramadan. Rasulullah SAW dipendekkan umur umatnya tapi dilebihkan pahala. Itulah kebesaran RasulullahSAW, dengan kerananya kita mendapat rahmat.

Jadi sebab itu  Tuhan tahu kita ini dipendekkan umur tetapi dikurniakan ibadah puasa di bulan Ramadhan yang mana hendak mendapatkan Lailatul Qadar tu bukanlah mudah dan satu kebiasaan. Ibadah puasa yang dibuat itu mestilah sampai dapat memberi cahaya pada hati, paling tidakpun dapat membersihkan hati, hingga menjadi orang soleh yakni golongan Ashabul Yamin. Kalau hati itu sampai bercahaya-cahaya, itu tersangat hebat!. Jadi mari kita lihat, munasabahkah hendak mendapat pahala berganda-ganda, menasabahkah hendak mendapat pahala lebih 1000 bulan, apakah sebabnya yang sampai begitu mujarab, ini jarang dikaji orang.



AKHLAK KEPADA ALLAH DAN MANUSIA


Untuk membangunkan satu kehidupan agar selamat di dunia dan selamat di Akhirat, agar masyarakat makmur dapat pula keampunan Tuhan, kemajuan dan tamadun tercapai, akhlak yang mulia juga wujud dan jadi budaya di dalam kehidupan, ia bak bunga yang kembang di taman yang indah yang sangat menarik pandangan dan tempat jatuhnya hati manusia, kekayaan dan makan minum mewah, budi juga mewah dan terserlah, kemudahan-kemudahan hidup cukup, tapi disiplin dan tatasusila manusia juga tinggi, tamadun tinggi tapi manusianya merendah diri, maka roh atau hati atau jiwa manusia hendaklah dibangunkan.

Dari pembangunan jiwa, akan lahir tamadun kerohanian atau akhlak yang mulia dan terpuji atau terbangun insaniah manusia yang dikatakan oleh kita selalu iaitu jati diri.

Di dalam diri manusia, roh adalah sebagai raja, akal sebagai penasihat, nafsu adalah musuhnya manakala anggota lahir (jawarih) adalah rakyat di dalam diri. Kalau raja di dalam diri baik, seluruh anggota (rakyat di dalam diri) menjadi baik. Samalah seperti di dalam sebuah negara, ada keterangan di dalam kitab mengatakan: “Manusia itu mengikut agama pemerintahnya.”

Ertinya bagaimana sikap pemerintah begitulah sikap rakyatnya. Begitulah pemerintah di dalam diri (hati atau roh). Bagaimana keadaannya begitulah anggota lahirnya sebagai rakyat di dalam diri. Kalau hati baik (raja di dalam diri baik), maka baiklah anggota lahir manusia (rakyat di dalam diri). Kalau hati jahat maka jahatlah seluruh anggota lahir manusia.

Ia memang telah ditegaskan oleh Hadis Nabi: “Dalam diri anak Adam itu ada seketul daging, kalau baik daging itu maka baiklah manusia, kalau ia rosak maka rosaklah manusia. Ketahuilah itulah hati atau roh.” (Riwayat Bukhari dan Muslim dari Nukman bin Basyir)

Justeru itu hati (roh) wajib dibangunkan dengan cara dididik dan diasuh. Ini kerana dari pembangunan jiwa, lahirlah kebudayaan, tamadun kerohanian dan akhlak mulia yang sangat penting. Ia tempat pandangan Allah dan tempat jatuh hati manusia. Dan kerana itulah para rasul dan para nabi alaihimussolatuwassalam diutus oleh Allah SWT demi untuk pembangunan insaniah tersebut. Mereka tidak diutus kerana pembangunan material dan fizikal. Pembangunan material, tanpa rasul dan nabi pun manusia boleh membangunnya. Itu memang telah dibuktikan oleh sejarah, manusia membangun tidak perlu adanya orang kerohanian seperti rasul dan nabi atau ulama ul amilin.

Contohnya bangsa Rom, Yunani, Farsi, bangsa-bangsa yang disebut di dalam Al Quran seperti kaum ‘Aad, kaum Tsamud, kaum Saba’ dan bangsa Babil atau Babylon. Mereka membangun dan menegakkan tamadun tanpa orang-orang kerohanian bahkan mereka menolak para rasul dan menentangnya.

Lantaran itulah juga Rasulullah SAW pernah bersabda: “Sesungguhnya aku diutuskan kerana menyempurnakan akhlak yang mulia.” (Riwayat Malik)

Lagi Sabda Baginda: “Sebaik-baik manusia ialah mereka yang paling baik akhlaknya.” (Riwayat At Tabrani)

Perlu diingatkan bahawa membangunkan insaniah untuk melahirkan akhlak yang mulia pada seorang manusia, tidak semudah yang kita sangka. Betapalah kalau satu keluarga, sebuah sekolah, satu kampung, satu mukim, sebuah daerah, satu negeri, lebih-lebih lagilah satu negara. Membangunkan material seperti membangun sebuah bangunan 100 tingkat mungkin lebih mudah daripada membangunkan insaniah seorang manusia. Membangunkan pencakar langit setinggi 100 tingkat mungkin boleh siap dengab memakan masa tiga tahun, tapi hendak membangunkan insaniah seseorang manusia, mungkin memakan masa 30 tahun, itu pun belum tentu berjaya. Lantaran itulah untuk pembangunan insan ini Allah datangkan orang-orang-Nya iaitu para rasul dan para nabi alaihimussolatuwassalam. Selepas itu mereka yang tunduk kepada ajarannya seperti para auliya, kemudian para ulama ul amilin, paling tidak orang yang soleh.

Apabila disebut akhlak, akhlak yang utama terbahagi kepada dua iaitu:

Pertama: Akhlak kepada Allah.

Kedua: Akhlak kepada manusia.

Akhlak kepada Allah, di antaranya yang paling besar selepas beriman kepada-Nya ialah menyembah-Nya (sembahyang), ikhlas, rasa bertuhan, ertinya hati sentiasa merasa di mana sahaja kita berada, Allah sentiasa mengawasi, melihat dan mendengar terhadap kita, rasa malu, rasa takut, rasa kasih, sabar, redha, tawakal, khusyuk, khuduk.

Akhlak kepada manusia di antaranya kasih sayang, pemurah, mesra, adil, amanah, menunai janji, bercakap benar, merendah diri, bertolak ansur, ziarah-menziarahi, berlemah-lembut, bertolong bantu, baik sangka.

Selain dua bahagian akhlak yang utama ini ada lagi akhlak dengan haiwan dan jamadat seperti pokok, batu dan lain-lain lagi. Kita tidak boleh menyeksa binatang sesuka hati. Kalau kita memeliharanya seperti kambing, disediakan kandangnya, makan minumnya, sakit diubati, jika disembelih gunakan pisau yang tajam. Begitu juga dengan jamadat seperti pokok, kita tidak boleh menebang pokok sesuka hati, mesti ada maksud dan tujuan yang memberi manfaat.

Begitu sekali luas akhlak di dalam ajaran Islam dan begitu indah sekali akhlak yang dianjurkan oleh agama akhir zaman ini. Ia bersifat sejagat, ia disukai oleh semua manusia sekalipun orang bukan Islam. Justeru itulah kalau umat Islam kembali berakhlak seperti zaman tiga kurun selepas Rasulullah SAW, umat Islam akan dihormati semula oleh dunia kerana dengan akhlak yang mulia terlalu sedikit orang hasad dengki. Kerana akhlak bersifat sejagat laksana bunga yang indah, tidak ada orang yang tidak suka dan tertarik.

IMAN, ISLAM, IHSAN – RUKUN TAQWA

Cara mendapatkan taqwa adalah satu pakej yang terdiri dari tiga perkara. Tiga perkara inilah yang paling penting dan paling asas dari keseluruhan usaha mendapatkan taqwa itu. Kalau tiga perkara ini tidak diperolehi dan tidak dihayati, maka usaha yang lain itu tidak ada erti apa-apa. Kalau dibuat pun sia-sia belaka. Tiga perkara dalam pakej itu yang dinamakan rukun taqwa adalah:

1.           Iman

2.           Islam

3.           Ihsan

Kita biasa dengar tentang Iman sampai sudah lali. Kita biasa dengar tentang Islam sampai sudah lali. Kita pun sebut Ihsan sampai sudah lali. Tetapi kita tidak pernah tahu ketiga-tiga itu adalah rukun taqwa. Ketiga-tiga perkara di atas yang dijadikan satu pakej dinamakan rukun taqwa. Kalau rukun tidak ada kita tidak dapat tegakkan taqwa. Ibarat rumah, kalau tiang tidak ada, kita tidak boleh tegakkan rumah. Selama ini kita tidak pernah belajar atau diajar tentang rukun taqwa ini. Ia adalah asas, tapak atau benih taqwa. Memang itu salah kita. Kita belajar pun tidak pernah habis. Belajar sedikit, pindah. Belajar sedikit, tinggal.

Kalau hendak dikupaskan lagi, ketiga-tiga istilah ini bolehlah dikaitkan dengan Tauhid, Syariat dan Tasawuf. Iman itu Tauhid. Islam itu Syariat dan Ihsan itu Tasawuf.

Setiap perkara dalam ajaran Islam itu ada rukun dan ada syaratnya. Ada sah dan ada batalnya. Sembahyang misalnya, ada rukun, ada syarat, ada sah dan ada batalnya. Begitu juga dengan puasa dan haji, ada syarat, rukun, sah dan batalnya. Dengan taqwa tentulah lebih-lebih lagi kerana ia lebih besar dari sembahyang, lebih besar dari puasa dan lebih besar dari haji. Tentu ada rukun, syarat, sah dan batalnya. Orang tidak pernah ceritakan hal ini. Iman, Islam dan Ihsan adalah rukun taqwa. Rukun itu ertinya tiang. Kalau tidak ada tiang ertinya taqwa tidak boleh dibangunkan.

Iman ada pakejnya. Islam ada pakejnya. Begitu juga Ihsan ada pakejnya. Contohnya, Islam itu yang asasnya ialah rukun Islam. Yang tambahannya banyak seperti sembahyang sunat, puasa sunat, berjuang dan lain-lain. Itu semua syariat. Ga-bungan semua itu, barulah jadi rukun kepada taqwa.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...